CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

:: Pergilah Sepi ::

"Astaghfirullah... Dania, apa kau buat ni?" terbuntang biji mata Raisya melihat wajah yang terpampang di skrin komputer riba Dania. " Bila kau nak insaf ni Dania? Dah lama kan? Dah jadi suami orang dah pun mamat tu... Dah jadi bapa dah Dania oi..." Raisya memberi mukadimah. Dania sudah tahu apa yang bakal berlaku seterusnya. Pantas Dania menutup komputer ribanya sebelum Raisya memanjangkan lagi khutbahnya seperti selalu.

" Alah..aku bukan buat apa - apa pun..tengok je...bukan aku kacau pun hidup diaorang," Dania membela diri. Raisya sekadar menggeleng. Cakap banyak pun tidak ada gunanya. Raisya semakin lama sekamin tidak faham dengan jalan fikiran juga pendirian Dania. Sudah lebih 5 tahun berlalu namun Dania nyata sekali tidak mampu menolak walau sesaat bayangan kenangan Aidan daripada hidupnya.

Raisya sudah puas berkhutbah. Sudah kering air liur menasihati Dania agar melupakan Aidan dan membuka lembaran baru bersama insan lain. Namun, tidak ada satu pun kata - kata Raisya yang melekat di telinga, kepala mahupun hati Dania. Pada Dania, Aidan masih lagi miliknya dan Dania menjalani kehidupan separa normal dengan menganggap dia dan Aidan masih lagi psangan kekasih seperti 5 tahun dahulu.

Sejak mula mengenali Dania lebih 5 tahun yang lalu, kebetulan waktu itu Dania sedang patah hati kecewa cinta terhalang, Raisya sudah dapat mengesan obsesi keterlaluan Dania pada Aidan tatkala setiap kali ke perpustakaan, Dania enggan duduk di meja selain daripada meja ketiga berhampiran pintu di tingkat paling bawah. Kerana menurut Dania, di situlah dia pertama kali melihat Aidan dan mereka berkenalan.

Gila. Itulah perkataan yang Raisya kira paling sesuai untuk menerangkan obsesi keterlaluan Dania terhadap Aidan. Raisya sendiri sebenarnya tidak pernah mengenali Aidan secara peribadi. Cuma kenal melalui foto-foto juga cerita - cerita Dania. Tampan orangnya pada pandangan Raisya. Punya karisma, baik hati, setia, penyayang dan yang sewaktu dengannya. BAgaikan bintang...itu menurut Dania yang pada fikiran Raisya tidak cukup untuk membuat Dania yang pada luarannya nampak ;normal' begitu obses pada Aidan.

Sepanjang 5 tahun, Raisya melihat Dania hidup di dalam kenangan silam. Dania menjalani hidupnya seperti biasa. Sama seperti Raisya. Namun kehidupannya sedikit terbatas lantaran obsesinya yang keterlaluan itu. Setiap apa yang di buat...apa yang dimakan..apa yang dipakai..semuanya berdasarkan kepada apa yang Aidan sukan..apa yang Aidan tak suka..Apa yang Aidan mahu...segala-galanya Aidan.. Adakalanya membuatkan Dania terkeluar daripada senarai untuk sebarang aktiviti. Pasti ada pantang larang yang bersangkut paut dengan Aidan.

"Baju ni cantik...aku suka...tapi...."

"Aidan takkan suka tengok kau pakai baju macam ni?" Raisya meneka. Dania mengangguk. Raisya jadi hilang sabar pada satu petang Sabtu yang sangan indah dan damai.

"Kau ni dah sakit .. kau tau tak?? Aidan..Aidan..Aidan... Ada Aidan kisah kau nak pakai baju ke tak sekarang? Ada Aidan kisah kau makan ke tak sekarang? Kau mati pun belum tentu Aidan nak kisah pasal kau..." Dania tergamam. Rasa sabar Raisya sudah sampai ke kemuncak.

"Kau tak faham Sya.."

"Memang aku tak faham sebab kau yang tak pernah faham dengan diri kau sendiri. Kau faham tak? Kalau bukan kau yang nak tolong diri kau...siapa lagi Dania?? Siapa?? Aidan?? Jangan harap..." Raisya terus berlalu meninggalkan Dania yang sedang tersentap. Selama seminggu mereka tidak berteggur sapa. Pergi kuliah juga berasingan hingga akhirnya Dania mengalah dan memohon maaf pada Raisya. Dania berjanji untuk melupakan Aidan. Namun janji Dania hanya tinggal janji. Aidan tetap selalu di hati Dania. Raisya jadi semakin tidak mengerti sedalam apa cinta Dania pada lelaki bernama Airil Aidan itu.


Saban hari, Dania tetap juga menagih cerita terbaru tentang Aidan di halaman -halaman web komuniti popular. Walaupun Aidan jarang mengemaskini maklumat tentang dirinya, namun Dania tetap juga untuk view profile Aidan setiap hari. Sekali sekala bila Aidan memuat turun foto - foto terbaru, Dania akan 'cilok' biarpun setiap foto terbaru Aidan adalah luka di hati Dania. Melihat wajah manis isteri Aidan juga melihat wajah comel anak mereka membuatkan Dania cemburu.


Sudah jenuh mencuba. Namun masih tidak mampu untuk pergi jauh daripada Aidan. Dengan khabar yang diterima tentang pernikahan Aidan 2 tahun lalu, pada mulanya semua menyangka Dania akan dapat melupakan Aidan. Namun keadaannya tetap sama.


"Sya, aku rasa tak sedap hati la. Rasa sedih...sayu.. Kenapa ek?" Raisya memandang sekilas wajah cantik Dania. Jauh di sudut hatinya, Raisya tahu kenapa Dania berperasaan begitu. Ya Allah..kuat benar naluri seorang Dania terhadap Aidan. Subhanallah... Semua ini dengan kehendak Allah s.w.t juga kenapa Dania boleh merasainya. Semalam mendapat satu perkahabaran daripada Aizam, abang sepupunya yang juga teman Aidan. Raisya nekad untuk memaklumkan berita pernikahan Aidan yang bakal berlangsung sebulan lagi kepada Dania. Siapa tahu, Dania akan dapat melupakan Aidan.


"Hmm... Nia.. semalam Abang Aizam ada bagitau.. Aidan nak kahwin lagi sebulan.. 15 Januari.." Dania hanya diam membisu. Raisya tetap sabar menunggu tindakbalas Dania. Bimbang muncul di hati Raisya. Bimbang Dania akan bertindak di luar jangkaan. Lama membisu akhirnya Dania bersuara.


"Sampai hati dia Sya. Aku tak kisah kalau dia nak kahwin sekalipun. Tapi... kenapa dia pilih tarikh tu? Dia lupa ke Sya? 15 Januari...birthday aku Sya... our anniversary.." jelas sekali nada rajuk pada suara Dania. Raisya terpempam. Dia silap perhitungan. Sepatutnya dia tidak memaklumkan tarikh kepada Dania. Raisya mati akal. Tiada kata-kata terbaik yang terlintas di fikirannya saat itu.

"Mungkin tarikh tu parents dia yang pilih.." Raisya mencuba nasib.

Dania sekadar mendiamkan diri. Dia berusaha untuk redha atau lebih tepat lagi...pasrah. Pasrah dengan takdir cintanya. Sekian lama menabur rindu, ini yang diterimanya. Dania akur. Dia bukan siapa - siapa. Dia hanyalah Dania Amira yang akan setia menunggu Airil Aidan sampai bila - bila.



*********************************************

Dania bergegas keluar dari pejabat pagi itu. Dia ada mesyuarat yang perlu di hadiri. Dania sebenarnya hampir terlupa tentang mesyuarat awal pagi itu. Mujur di terselak buku catatannya sebelum tidur semalam. Matilah Dania kalau terlepas mesyuarat kali ini. Mesyuarat pertama untuk Projek Corridor IT kedua terbesar selepas Cyberjaya. Dania telah di amanahkan oleh atasannya sebagai wakil dari firma Arkitek.

Memandu ke Putrajaya mengambil masa satu jam dari pejabatnya. Jauh! Mujur ada Lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya. Kalau mengharapkan Lebuhraya Utara Selatan, pasti perjalanan menjadi lebih panjang gara - gara kesesakan di tol Sungai Besi.

Dania tiba di pejabat klien lima minit sebelum mesyuarat bermula. Hampir semua yang hadir telah mengambil tempat masing - masing. Dania memerhati sekeliling. Mencari tempat yang kosong untuk melabuhkan punggung. Ha.. ada satu kerusi kosong. Di sebelah Tuan Pengerusi! Bantai sahaja la. Yang penting ada tempat duduk.

Tepat jam sepuluh mesyuarat bermula. Sebelum mesyuarat bermula, sesi perkenalan mengambil tempat terlebih dahulu. Suai kenal memandangkan ini merupakan mesyuarat pertama.

Dani yang sibuk meneliti agenda mensyuarat pertama itu tersentak kala mendengar satu suara yang sudah lama tidak hadir di pendengarannya. Dania terkesima. Kenapa dia ada di sini? Kenapa tadi aku tidak melihat di sini? Mujur saja aku tidak duduk di sebelah dia. Dania lega dalam kaget.

Usai mensyuarat, Dania mahu cepat - cepat berlalu meninggalkan bilik itu. Dia mahu pergi jauh dari empunya suara yang telah memukul gegendang telinganya seawal mesyuarat bermula. Dania cepat-cepat mengemas semua barangnya. Selepas pamitan dengan yang lain, Dania segera meninggalkan bilik mesyuarat. Bayang lelaki itu tidak kelihatan. Dania menarik nafas lega.

***************************************

Imbas kembali ...

Dania serba salah. Dia datang menagih janji. Apa yang harus Dania jawab? Dania dalam dilema. Dania sudah terlanjur mengikat janji dengan Airil Aidan. Perasaan bersalah menyerbu ke segenap penjuru hari Dania Amira.

Ibu yang tidak tahu - menahu tentang Airil Aidan tidak jemu memujuk Dania untuk setuju keluar bersama Asrie. Kata ibu, Dania cuba dulu. Lagipun Dania perlu menunaikan janji Dania pada Asrie. Ya.. janji yang tidak sengaja Dania ucapkan beberapa tahun dahulu. Dania tidak pernah menyangka Asri begitu serius dengan janji Dania. Dania sendiri telah lupa dengan janji Dania. Kalaulah Dania selalu pegang janji Dania, Dania tak mungkin mengikat janji kasih dengan Airil Aidan. Dilema.

Akhirnya, kerana ibu, Dania menunaikan janji pada Asrie. Tapi, sesungguhnya kasih Dania pada Aidan lebih utuh. Kalaulah Dania tahu yang kasih mereka akan terlerai, pasti Dania akan bersungguh - sungguh mengota janji pada Asrie.

Asrie menyepi diri dari Dania setelah perhatiannya tidak mendapat tempat di hati Dania. Dania juga sudah tidak di anggap sebagai teman. Sedangkan Dania begitu menyenangi Asrie sebagai teman. Lantaran rasa bersalah, Dania mengikut saja rentak Asrie. Ibu juga sudah tidak memaksa.

Namun, jauh di sudut hati Dania, ada satu perasaan halus yang tumbuh untuk Asrie. Cuma perasaan itu terlalu dalam untuk di capai kerana sudah tertimbus terhadap perasaan Dania terhadap Airil Aidan.

Sehinggalah pada suatu pagi yang indah, Dania menerima utusan dari Asrie. Utusan mengundur diri. Asrie tidak sanggup lagi menunggu Dania. Tempoh tiga tahun dapat Asrie turuti kerana dia faham Dania masih bergelar pelajar universiti. Asrie juga begitu. Masih menuntut.  Kini, tiada apa halangan untuk Dania menerima sekeping hati milik Asrie. Jika halangan yang ada hanyalah diri Dania sendiri yang mungkin telah mempunyai seseorang yang istimewa. Perasaan bersalah tidak dapat dibendung lagi. Asrie terus menghilang dari hidup Dania. Cuma yang Dania harapkan saat itu hanyalah satu. Pilihannya tidak sia - sia.

******************************

Dania merenung siling. Bayangan wajah Asrie kini menari - nari di layar matanya. Peristiwa bertahun - tahun dulu kini bermain - main di mindanya. Asrie seorang lelaki kacak teman abangnya yang cuba untuk memikatnya. Namun, kerana takut di marahi ibu, Dania membuat janji. Asrie harus menunggu sehingga Dania tamat belajar. Tapi Dania telah lupa pada janj itu. Kehadiran Airil Aidan telah menimbus semua janji Dania pada Asrie.

Kini, setelah bertahun berlalu. Airil Aidan juga sudah terkubur dari kamus hidup Dania Amira, Asrie tiba - tiba muncul. Dan Dania berusaha untuk mengelak daripada bertembung dengan Asrie walaupun pada hakikatnya mereka bertemu dan berada di dalam satu bilik mesyuarat setiap minggu. Dan setiap minggu, Dania akan cuba mengelak. Bukan kerana dia tidak mahu menegur tapi perasaan bersalah dan malu masih menguasai dirinya.

Rasa bersalah kerana melupakan janjinya pada Asrie.

Malu kerana kasih yang di pilih rupanya tidak mendatangkan bahagia. Pendek kata, Dania telah tersalah membuat pilihan.

"Assalamualikum Dania,"
Waalaikumussalam... Dania sekadar menyahut salam di dalam hati. Bergetar seluruh lutut Dania. Wajah dtampan jejaka di hadapannya menambahkan getar ke seluruh anggota badannya.

"Dania, boleh kita bercakap sekejap. 5 minit pun dah cukup," Dania yang kejang semua urat saraf hanya mampu mengangguk. Seperti lembu yang di cucuk hidung, Dania mengikut langkah Asrie menuju ke sebuah kafeteria berhampiran.

Dania tidak keruan. Setiap tingkahnya dirasakan tidak kena. Mata yang memandang bagaikan belati tajam. Rasa bersalah kembali menguasai dirinya. Kebisuan Asrie menambahkan lagi rasa bersalah yang tidak pernah tertimbus dari hati Dania walaupun sudah bertahun - tahun kisah itu berlalu.

Dalam debar, Asri membuka bicara. Dania dilihat hanya diam membisu. Dia tidak pasti apa perasaan sebenar gadis itu.

"Dania, kenapa Dania melarikan diri dari saya? Saya ada buat apa - apa salah ke pada Dania? SEtiap kali kita berjumpa, pasti Dania mengelak untuk bertembung dengan saya. Setiap kali habis mesyuarat, Dania cepat - cepat pergi. Pandang sayan pun Dania tak sudi," ada nada rajuk di hujung kata - kata Asrie. Dania gelisah.

"Saya minta maaf kalau saya ada buat salah pada Dania. Saya.."

"Awak tak salah apa-apa. Saya yang salah," Dania memotong kata - kata Asrie. Sebelum bicara Asrie seterusny akan membuat Dania rasa lebih bersalah.

"Saya yang sepatutunya minta maaf pada awak," Dania memberanikan diri menentang sepasang mata yang indah milik Asrie. Di dalam hati Dania terdetik. Kenapa aku tidak pernah mahu memandang wajah ini dahulu sedangkan wajah ni begitu mendamaikan jiwa?

"Saya dah lama maafkan awak. Saya tak pernah anggap awak salah. Saya menghormati keputusan awak pada waktu itu. Awak berhak menentukan siapa pilihan awak. Saya tidak akan kembali menagih janji awak. Saya cuma mahu kita berkawan,"

Perkataan berkawan sedikit mengecewakan Dania. Namun, senyuman mesra cepat di hadiahkan kepada hati sambil hatinya membisikkan kata harapan. Semoga bukan sedakar kawan.

Asrie sangat senang melihat senyuman Dania. Tidak sia - sia dia menunggu sejam di luar bilik mesyuarat semata-mata mahu menunggu Dania yang sedang berdiskusi dengan klien. Usahanya membuahkan hasil.

Dari sembang-sembang tentang kerjaya, Asrie memberanikan diri memulakan perbualan tentang peribadi. Sudah hampir 7 tahun tidak bertemu Dania. Khabar gadis itu langsung tidak diketahuinya. Ekoran cinta yang ditolak, Asrie jadi hampa dan cuba untuk membuang Dania jauh dari hatinya namun semua itu tidak b ernah berhasil sehinggalah di bertemu semula dengan Dania beberapa bulan lalu. Apa yang pasti, Dania belum berkahwin! Kalau sudah, tentu khabar itu sampai kepadanya.

"Dania dah kahwin?" Dania tersedak mendengar soalan itu. Mujur dia tidak tersembur Asrie.

"Sorry kalau saya tanya soalan yang tak sepatutnya," Asrie kesal dengan kelancangan mulutnya. Dia sendiri sudah sedia maklum tentang itu tetapi sengaja bertanya.

"Tak apa. saya tak marah. Tapi sebelum tu, saya nak tanya. Awak dah kahwin?" hati Dania berdebar menanti jawapan Asrie.

Asrie menggeleng. Dania lega dan di juga turut menggeleng. MEreka akhirnya sama -sama ketawa.

****************************

d"Dania, jejaka idaman kau lalu tu," Dania bingkas bangun bila mendengar suara Reza memanggilnya. Langkahnya laju menuju ke tingkap. Senyuman terukir di bibirnaya saat melihat sekujur tubuh sedang melintas jalan menuju ke seberang. Setiap pagi sebelum loceng berbunyi, itulah aktiviti tetap Dania. Menjadi 'stalker' tegar kepada seorang pelajar senior sekolah sebelah. Tidak melihat kelibat jejaka itu sehari bagaikan hilang semangat Dania untuk meneruskan harinya. Walaupun sering di perli oleh R eza, tapi Dania tidak pernah ambil kisah. Bahkan Reza juga sudah berjangkit dengan Dania.

Dania cemburu melihat jejaka pujaannya berbual mesra dengan senior sekolahnya. Bagai di robek - robek jantungnya. Selama dua tahun Dania menjadi pemuja rahsia jejaka itu. Tapi, Dania tidak pernah tahu namanya. Setelah jejaka idamannya tamat tingkatan 5, hidup Dania sudah hilang serinya dan Dania berpindah ke sekolah lain. Dan alangkah terkejutnya Dania apabila jejaka idamannya itu menjejakkan kaki ke rumahnya pada hari raya tahun berikutnya. Bagaikan bermimpi. Tidak sia-sia Dania bersengkang mata menonton filem kegemarannya. Teman - teman abangnya yang datang beraya mengganggu konsentrasi Dania.

"eee..malasnya.. mesti aku yang kena hidang air lepas nih," rungut Dania. Menyesal pula tidur lambat.

"Dania, tolong hidangkan air. 6 orang," Dania mengeluh. Dah agak dah. Mesti aku juga yang kena. Dania melangkah malas menuju ke dapur. Langkahnya lambat - lambat.

"Dania!! Dah ke belum," Zairul mejenguk adiknya di dapur. Lama benar nak hidangkan air. Dania dilihat terkocoh-kocoh menuang air ke dalam gelas.

"La..kenapa hidang air Coke? Air sirap oren tak ada ke?"

"Dah habis.Biarlah. Kalau abang nak abang bancuh sendiri,"

"Yelah..yelah.." Zairul mengalah. "Cepat sikit," arahnya. Dania sekdar mencebik. Seketika kemudian, Dania menatang dulang menuju ke ruang tamu. Langkahnya lamabt - lambat. Bukan mahu menjaga tertib, tetapi sengaja mahu menyakitkan hati Zairul . Tanda protes.

Asrie bagaikan tidak percaya. Kenapa aku selama ni tak pernah tahu? Ajakan teman untuk pergi beraya kerumah Zairul tidak sia-sia. Dia menemui gadis comel yang selalu diperhatikannya di rumah Zairul. Apa kaitan Zairul dengan gadis comel ini? Sejak tiga tahun lalu, dia selalu mengintai gadis itu dari tingkap kaca kelasnya. Setiap hari tamat waktu persekolahan, Asrie akan berdiri di tepi tingkap bilik kelasnya untuk mengintai gadis comel itu. Setiap hari gadis comel itu akan berdiri tegak di hadapan pagar sekolah menunggu temannya untuk balik bersama. Pernah juga Asrie mengikuti gadis comel itu sehingga ke perhentian bas. Tetapi yang anehnya, Asrie tidak pernah melihat Zairul bersama gadis comel itu.

********************************

Dania ketawa geli hati. Dia merasa sungguh bahagia. Sepi yang dirasakan kini telah pergi jauh. Jejaka idamannya sejak di bangku sekolah kini sudah berada di hadapan matanya. Setiap luka yang di tinggalkan Airil Aidan telah ternoktah. Sinar lama telah kembali menjengah dan menyinari lebih terang kehidupan Dania Amira. Kini dia tidak perlu lagi mengintai disebalik tingkap kaca untuk melihat kelilbat jejaka idaman lalu di hadapan sekolahnya kerana jejaka idamannya kini berada di hadapan matanya setiap masa.

Asrie tidak berjaya menyembunyikan senyum di bibirnya. Hatinya berbunga riang. Di bersyukur ke hadrat Illahi kerana memberi anugerah terindah dalam hidupnya. Gadis comel yang selalu menjadi intaian matanyanya kini telah menjadi miliknya.

Tidak pernah menyangka. Rupa-rupanya selama ini Asrie dan Dania saling menyimpan rasa.


~SEKIAN~